BUDI Diesel: Kelayakan Boleh Dipindah Hingga Tiga Kenderaan
KUCHING: Pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel kini dibenarkan memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada maksimum tiga kenderaan, susulan kelonggaran baharu yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu turut diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terhad kepada keluarga terdekat.
Menurut beliau, kelonggaran tersebut mengambil kira keadaan pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel dalam satu isi rumah, termasuk kenderaan yang didaftarkan atas nama suami, isteri atau anak.
“Pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel, kita beri kelonggaran dan dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga kenderaan.
“Kerajaan efisien, umum hari ini, lepas ini terus dibenarkan untuk tiga kenderaan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Beliau berkata, perluasan kemudahan pemindahan kelayakan itu dibuat berdasarkan rayuan dan maklum balas yang diterima kerajaan.
“Kemudahan pemindahan kelayakan akan diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terbatas kepada keluarga terdekat. Ini berdasarkan rayuan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Seri Anwar berkata kerajaan sebelum ini telah meningkatkan had diesel bersubsidi bagi pemilik pikap dan jip di Sabah dan Sarawak kepada 400 liter sebulan, berbanding 300 liter sebelum ini.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira keluhan rakyat serta pandangan Menteri-Menteri Sabah dan Sarawak mengenai keperluan penggunaan kenderaan diesel.
“Walaupun kita umumkan 300 liter sebulan di ambang kemerdekaan 31 Ogos lalu, tetapi pemilik pikap dan jip diesel, ini masalah banyak di Sabah dan Sarawak, masih mengeluh.
“Jadi kita naikkan diesel subsidi hingga 400 liter sebulan,” katanya lagi.
Beliau berkata, penambahbaikan BUDI Diesel berkenaan mencerminkan kesediaan kerajaan mendengar maklum balas rakyat dan menyesuaikan pelaksanaan bantuan berdasarkan keperluan semasa. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi