TVET Buka Laluan Kerjaya, Tingkat Daya Saing Belia Ke Peringkat Global
SARIKEI: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka laluan kerjaya yang luas kepada golongan muda, termasuk peluang mengembangkan kemahiran sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, laluan berasaskan kemahiran mempunyai prospek kerjaya tersendiri dan tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan kedua berbanding pendidikan berasaskan universiti.
Menurut beliau, penguasaan kemahiran pada tahap tinggi boleh membawa golongan muda ke platform pertandingan kemahiran antarabangsa seperti WorldSkills, sekali gus memberi pendedahan kepada standard industri di peringkat global.
“WorldSkills memberi peluang kepada peserta Malaysia untuk bersaing dengan peserta dari seluruh dunia, selain membuka ruang kerjaya melalui tawaran daripada syarikat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mansang Anak Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, di sini, pada Sabtu.
Dato Ir. Yusuf berkata, penyertaan dalam pertandingan kemahiran bertaraf dunia bukan sahaja menguji keupayaan peserta, malah berpotensi membuka peluang kerjaya apabila kemahiran tinggi mereka mendapat perhatian pihak industri.
Katanya, bidang pekerjaan berasaskan kemahiran juga mampu menawarkan pendapatan yang baik bergantung kepada tahap penguasaan, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda supaya melihat TVET sebagai laluan membina kepakaran dan kerjaya, termasuk dengan memanfaatkan peluang pendidikan kemahiran, pertandingan antarabangsa serta jaringan dengan industri.
Ujarnya, penguasaan kemahiran secara berterusan penting bagi membolehkan anak muda meningkatkan tahap kompetensi dan mengembangkan potensi kerjaya berdasarkan kebolehan serta bidang yang diceburi.-EDISI UKAS