RM80,000 Untuk Pembangunan Kemudahan Di Kampung Sungai Jernang
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak RM80,000 diperuntukkan bagi menyokong keperluan pembangunan dan kemudahan masyarakat di Kampung Sungai Jernang termasuk pembinaan tempat letak kereta serta penyediaan kelengkapan sekolah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, daripada jumlah tersebut, RM50,000 diperuntukkan bagi pembinaan kemudahan tempat letak kereta di kawasan kampung.
Menurut beliau, tambahan RM20,000 turut disalurkan bagi membantu keperluan perabot dan kelengkapan sekolah, khususnya pembelian meja dan kerusi untuk kegunaan murid.
Sementara itu, RM10,000 disumbangkan bagi menjayakan Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Jernang, pada Sabtu.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Stakan, komitmen saya kekal konsisten untuk memastikan kesejahteraan, kemudahan infrastruktur dan kebajikan penduduk sentiasa terjaga dan ditambah baik.
“Saya sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi serta keperluan penduduk melalui JKKK, KRT dan kepimpinan tempatan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah berkata, sambutan Kuih Bulan bukan sekadar meraikan tradisi masyarakat Cina, malah menjadi ruang memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum melalui semangat kebersamaan, saling menghormati dan keharmonian.
Katanya, kepelbagaian masyarakat di Dewan Undanga Negeri (DUN) Stakan dan Bahagian Samarahan dapat dilihat apabila masyarakat Cina, Melayu, Iban serta kaum-kaum lain bersama-sama meraikan perayaan berkenaan.
“Kuih bulan yang berbentuk bulat itu sendiri menjadi simbol ikatan yang utuh dan lengkap. Inilah keunikan Sarawak yang kita banggakan, apabila perpaduan dan keharmonian menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kapitan Kampung Sungai Jernang serta kepimpinan masyarakat setempat atas usaha berterusan menjayakan pelbagai program kemasyarakatan. -EDISI UKAS