Sistem Paip Graviti Perkukuh Bekalan Air Penduduk Kampung Bagak
LUNDU: Penduduk Kampung Bagak kini mempunyai sumber tambahan bekalan air menerusi Projek Naik Taraf Sistem Paip Graviti yang telah dirasmikan bersama Dewan Serbaguna Kampung Bagak pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penyediaan sistem berkenaan penting bagi membantu memastikan keperluan bekalan air penduduk terus terjamin, khususnya ketika berlaku gangguan pada sistem sedia ada.
Menurut beliau, walaupun Kampung Bagak telah mempunyai sistem bekalan air, gangguan masih boleh berlaku dari semasa ke semasa, justeru sistem paip graviti berkenaan berfungsi sebagai sumber tambahan kepada penduduk.
“Bekalan air bersih dan mencukupi merupakan antara keperluan asas paling penting dalam kehidupan seharian,” katanya ketika merasmikan kedua-dua projek berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Bagak, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Billy berkata pembangunan kemudahan asas di kawasan luar bandar bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur fizikal, tetapi perlu memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
Katanya, Dewan Serbaguna Kampung Bagak pula perlu dimanfaatkan sebagai pusat masyarakat untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya bersama menjaga kebersihan, keselamatan dan keadaan dewan berkenaan bagi memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan dalam jangka panjang termasuk oleh generasi akan datang.
Menurutnya, pembangunan luar bandar akan terus diberi perhatian bagi memastikan setiap komuniti mempunyai akses kepada kemudahan asas yang lebih baik serta ruang yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti bersama.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan bakul makanan kepada 25 penerima sebagai sebahagian daripada usaha membantu golongan yang memerlukan dalam komuniti setempat.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail. -EDISI UKAS