LUNDU: Kira-kira 200 Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu memperkemas gerak kerja serta kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Langkah itu menjadi antara fokus utama Seminar Pemerkasaan PBB Tanjong Datu yang menghimpunkan barisan Badan Induk, Pergerakan Wanita dan Pemuda serta Ketua-Ketua Ranting, di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, pengukuhan jentera perlu disertai dengan usaha memastikan parti kekal dekat dengan masyarakat serta memahami keperluan dan aspirasi rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pendekatan mesra rakyat perlu terus diperkukuh bagi memastikan PBB tidak dilihat sebagai parti yang hanya tertumpu kepada kelompok tertentu.
“Jentera parti perlu sentiasa dekat dengan masyarakat dan memahami apa yang diperlukan oleh rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Mengulas cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya, Azizul Annuar berkata Tanjong Datu dicadangkan berubah daripada N.3 kepada N.5, namun kawasan daerah mengundi di kawasan berkenaan secara keseluruhannya tidak mengalami perubahan besar.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya terus memperkukuh gerak kerja, komunikasi dan kerjasama di setiap peringkat, selain meningkatkan usaha menggalakkan penyertaan pengundi pada PRN Sarawak akan datang.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Draup, Naib Ketua Cawangan PBB Tanjong Datu Sintu Layang serta tetamu yang lain. -EDISI UKAS