Sarawak Perlu Lebih 20,000 Jurutera, Peluang Kerjaya Terbuka Kepada Anak Negeri
SARIKEI: Sarawak dianggarkan memerlukan lebih 20,000 jurutera bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai bidang teknikal susulan perkembangan pesat sektor pembangunan dan industri negeri.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, keperluan tenaga profesional itu membuka ruang kepada anak Sarawak untuk menceburi bidang kejuruteraan dan mengisi keperluan tenaga kerja dalam projek pembangunan negeri.
Menurut beliau, kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat diperlukan bagi menyokong pelaksanaan projek berskala besar termasuk jaringan pengangkutan, jambatan, sistem bekalan air dan kemudahan tenaga.
“Banyak jurutera yang dilantik dan dipilih oleh kontraktor datang dari luar Sarawak. Namun, anak Sarawak juga mempunyai kemampuan untuk mengisi peluang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mansang Anak Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Dato Ir. Yusuf berkata pendedahan terhadap STEM perlu dimulakan sejak di bangku sekolah bagi membolehkan pelajar mengenal pasti minat, potensi dan bidang yang sesuai dengan mereka lebih awal.
Katanya, tempoh Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 wajar dimanfaatkan pelajar untuk meneroka pelbagai bidang sebelum membuat keputusan mengenai laluan pendidikan di peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, beliau berkata laluan kerjaya dalam STEM tidak hanya bergantung kepada pendidikan universiti kerana Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menyediakan ruang membina kepakaran serta kerjaya berasaskan kemahiran.
Beliau turut menggesa ibu bapa memberi ruang kepada anak-anak mengenal pasti kekuatan dan minat masing-masing, termasuk dalam bidang STEM dan kemahiran teknikal.
Katanya, pendedahan awal serta sokongan berterusan daripada keluarga dan institusi pendidikan penting bagi memastikan Sarawak mempunyai generasi pelapis yang mampu memenuhi keperluan tenaga profesional dan teknikal negeri pada masa hadapan.- EDISI UKAS