DALAT: Seramai 93 kanak-kanak kini mengikuti sesi intervensi awal di Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) Sarawak Cawangan Dalat, dengan perkhidmatan berkenaan diperkasa menerusi pendekatan seorang petugas kepada seorang kanak-kanak (1:1).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan itu membolehkan intervensi diberikan secara lebih berfokus berdasarkan keperluan individu setiap kanak-kanak.
Menurut beliau, pengukuhan perkhidmatan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat sokongan awal yang bersesuaian bagi membantu perkembangan dan potensi mereka.
“Kerajaan Sarawak amat komited dalam mendukung agenda pembangunan awal kanak-kanak dan pendidikan inklusif demi memastikan setiap anak mempunyai hak, potensi serta peluang cerah untuk berkembang sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Family Day OSEIC Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, pada Sabtu.
Sehingga 31 Ogos 2026, enam kanak-kanak lagi berada dalam senarai menunggu untuk mengikuti sesi intervensi secara berperingkat di OSEIC Sarawak Cawangan Dalat.
Majoriti kanak-kanak yang menerima intervensi mengalami kelewatan pertuturan, selain terdapat kes Spektrum Autisme (ASD), Lewat Perkembangan Global (GDD), Sindrom Down dan Kecelaruan Defisit Perhatian Hiperaktif (ADHD), termasuk kanak-kanak yang masih dalam proses pengesahan diagnosis doktor.
Selain intervensi awal, OSEIC Sarawak menyediakan perkhidmatan sokongan merangkumi terapi pertuturan, terapi cara kerja, fisioterapi serta bimbingan kepada ibu bapa dan penjaga.
Ketika ini, OSEIC Sarawak Cawangan Dalat beroperasi dengan dua bilik kelas intervensi di Kompleks Kebajikan Dalat, manakala perancangan penambahan kapasiti ruang sedang dibuat bagi menampung peningkatan jumlah kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan tersebut.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata penglibatan ibu bapa dan komuniti turut penting dalam memastikan sokongan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata Program Family Day OSEIC Dalat menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa, pihak pengurusan OSEIC, komuniti dan agensi berkaitan dalam menyokong pembangunan serta kebolehan kanak-kanak.
Program itu turut mendapat sokongan Pusat Khidmat Masyarakat Dalat, Skuad Kasih Sayang, PERKIM, PITSA, Kompleks Kebajikan Dalat (KKD), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), SeDidik Dalat serta Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).-EDISI UKAS