Pembangunan Infrastruktur & Modal Insan Sokong Siburan Menjadi Hab Bekalan Makanan
SIBURAN: Siburan berpotensi diperkasakan sebagai kawasan pengeluaran makanan utama bagi Kuching, Serian dan Kota Samarahan, seiring pembangunan infrastrukturnya serta pengukuhan pendidikan dan modal insan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, potensi tersebut perlu dimanfaatkan menerusi perancangan pembangunan yang tersusun dengan mengambil kira kekuatan serta keperluan komuniti tempatan.
Menurut beliau, Siburan mempunyai tanah yang sesuai untuk aktiviti pertanian selain masyarakatnya mempunyai pengalaman dalam pengeluaran sayur-sayuran, ayam dan pelbagai bahan makanan.
“Ini menjadikan Siburan mempunyai potensi untuk terus berperanan sebagai ‘food basket’ bagi kawasan Kuching, Serian dan Kota Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Pesta Tanglung 2026 Persatuan Klan Chung Sarawak serta Penyampaian Insentif Kecemerlangan Akademik Anak-anak Ahli Persatuan, di sini pada Sabtu.
Katanya, pembangunan infrastruktur, pengukuhan peranan komuniti serta pelaburan dalam pendidikan dan modal insan merupakan antara aspek yang perlu terus diberi perhatian bagi memastikan Siburan berkembang sebagai kawasan yang maju dan berdaya saing.
Beliau berkata, perkembangan Siburan sejak beberapa dekad lalu telah membawa perubahan ketara dari segi infrastruktur, kemudahan awam dan peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Menurutnya lagi, status Siburan sebagai sebuah daerah baharu turut membuka ruang kepada pentadbiran yang lebih mantap serta perancangan pembangunan yang lebih tersusun.
“Apabila kita mempunyai satu hasrat untuk membangun bersama-sama, ia akan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan membolehkan kita bergerak ke hadapan secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan Sarawak, khususnya dalam menyediakan generasi muda untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 11 penerima insentif kecemerlangan akademik yang menerima sumbangan pada majlis berkenaan.
Katanya, pemberian insentif pendidikan berkenaan bukan sahaja menjadi bentuk sokongan kepada pelajar, malah dapat menjadi dorongan kepada mereka untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Turut hadir, Presiden Persatuan Klan Chung Sarawak, Chung Kim Seng, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Chung Pei Lan dan Penghulu Masyarakat Cina Kawasan Siburan Penghulu Voon Min Sen. -EDISI UKAS