Keperluan Tanjung Bijat Diberi Perhatian, RM16,000 MRP Disalur Kepada Komuniti
SRI AMAN: Keperluan pembangunan masyarakat di kawasan Tanjung Bijat terus diberi perhatian menerusi peruntukan serta perancangan naik taraf kemudahan komuniti, termasuk kerja-kerja di bahagian belakang Rumah Panjang Sunga Ban yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, keperluan berkenaan akan diberi perhatian untuk dilaksanakan menggunakan peruntukan pada tahun hadapan, tertakluk kepada perancangan dan kelulusan berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau Bukit Begunan yang berlangsung di Rumah Aji Lega, di sini pada Sabtu.
Pada program sama, beliau turut mengumumkan Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM12,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Aji Lega, manakala Biro Wanita JKKK rumah panjang berkenaan menerima RM4,000.
Menurutnya, peruntukan tersebut disediakan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta keperluan komuniti setempat.
Datuk Mong Dagang turut merasmikan Gelanggang Sepak Takraw yang telah siap dibina menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sekali gus menyediakan kemudahan riadah untuk kegunaan penduduk.
Selain aspek pembangunan fizikal, beliau turut menekankan kepentingan pengurusan pentadbiran komuniti yang teratur, khususnya dalam memastikan maklumat berkaitan kampung sentiasa dikemas kini.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan ketua-ketua kampung dan kepimpinan JKKK supaya memastikan Profil Kampung dikemas kini serta mengadakan mesyuarat JKKK sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan.
Katanya, pengurusan maklumat dan pentadbiran komuniti yang baik membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar penduduk, sekali gus memudahkan penyaluran bantuan, peruntukan dan pelaksanaan program pembangunan.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Josephson Louis Nako. -EDISI UKAS