Sebanyak RM530,000 Disalur Bagi Pemerkasaan Pembangunan Komuniti Kara
SRI AMAN: Sebanyak RM530,000 diperuntukkan bagi menyokong pelbagai keperluan pembangunan komuniti di kawasan Kara, di sini termasuk penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan keperluan masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Amie, Kampung Kara Tinting Jagu, di sini pada Sabtu.
Daripada jumlah tersebut, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Amie menerima tambahan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM50,000 bagi pembinaan sistem perparitan.
JKKK Rumah Amie turut menerima Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000, manakala Biro Wanita Rumah Amie Kara Tinting menerima RM3,000.
Sementara itu, JKKK Rumah Maureen dan JKKK Rumah Enta masing-masing menerima peruntukan RTP sebanyak RM150,000 manakala JKKK Rumah Lang pula menerima RM50,000 di samping JKKK Rumah Senang menerima RM100,000 bagi kerja-kerja menaik taraf dewan komuniti.
Melalui peruntukan MRP, Tuai Rumah (TR) Maureen, TR Enta dan TR Senang masing-masing menerima RM5,000, manakala TR Lang menerima RM2,000.
Dalam perkembangan lain, Datuk Mong turut menegaskan bahawa pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur, sebaliknya turut merangkumi pembangunan minda, pendidikan, bakat dan modal insan.
Menurut beliau, pembangunan manusia penting bagi memastikan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, mempunyai keupayaan untuk menghadapi cabaran semasa serta menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. -EDISI UKAS