Lebih 1.25 Juta Hektar Tanah NCR Diukur Setakat 31 Ogos 2026
KUCHING: Lebih 1.25 juta hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diukur di seluruh Sarawak sehingga 31 Ogos 2026 melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak kekal komited untuk mempercepatkan kerja penyukatan dan pengeluaran hak milik tanah NCR.
Menurutnya, pencapaian tersebut tidak boleh dilihat sebagai angka semata-mata kerana setiap lot dan sempadan tanah melibatkan keluarga, sejarah, sumber pendapatan serta masa depan generasi seterusnya.
"Justeru, kerja seterusnya perlu dilihat kepada penyelesaian 'end-to-end' iaitu daripada identifikasi kawasan, penyukatan dan pengesahan sempadan, hinggalah kepada dokumentasi, pendaftaran dan pengeluaran hak milik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei (HIITS) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, penggunaan teknologi boleh membantu mempercepatkan proses berkenaan, namun libat urus dengan pemilik tanah, komuniti dan pihak berkepentingan tetap penting bagi membantu mengurangkan pertikaian, meningkatkan keyakinan serta memastikan hak rakyat terus dipelihara.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, fungsi penilaian turut berdepan cabaran yang semakin kompleks susulan pelaksanaan lebih banyak projek infrastruktur, pembangunan bandar dan pelaburan berskala besar di Sarawak.
Menurutnya, proses pengambilan tanah perlu disokong oleh penilaian yang profesional, konsisten dan dapat dipertahankan supaya pembangunan dapat dilaksanakan tepat pada masanya tanpa mengabaikan hak pemilik tanah untuk menerima pampasan yang adil.
Ujarnya pada masa yang sama, penilaian premium bagi perubahan syarat nyata tanah, pemberimilikan terus, pembaharuan pajakan tanah dan projek-projek utama perlu mengambil kira perubahan pasaran serta potensi pembangunan secara teliti.
Beliau mengambil contoh pembangunan jalan di Tanjung Embang yang menurutnya akan memberi perubahan terhadap nilai tanah susulan pembangunan infrastruktur.
Katanya, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh Jabatan Tanah dan Survei melalui peruntukan berkaitan di bawah Seksyen 47 dan Seksyen 48.
“Kita tahu kita membangunkan kawasan tersebut, sudah tentu harga nilainya akan berlainan disebabkan perubahan nilai.
"Kadang-kadang mahu membina jalan pun susah, kalau tidak buat pun susah, tetapi ini adalah evolusi ekonomi. Bermakna kita membangunkan negeri, sudah tentu manfaatnya kepada rakyat," jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi serta Pengarah Jabatan Tanah Dan Survei Datu Awang Zamhari Awang Mahmood. -EDISI UKAS