RTP Perkasa Kemudahan Pendidikan Miri, Projek Gelanggang SM Sains Hampir Siap
MIRI: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan pendidikan di Miri diterjemahkan menerusi penyaluran peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM14.6092 juta sejak 2016.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata peruntukan itu memberi manfaat kepada sekolah, Institut Pendidikan Guru (IPG) serta tadika bagi meningkatkan prasarana dan mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM13.0184 juta telah diluluskan khusus bagi kawasan DUN Piasau melibatkan 21 buah sekolah, sebuah IPG dan tiga tadika.
“Bagi kawasan DUN lain di Miri pula, sebanyak RM1.5908 juta telah disalurkan kepada sembilan sekolah dan tiga tadika bagi tempoh 2017 hingga 2022,” katanya semasa lawatan projek RTP ke Sekolah Menengah Sains (SM Sains) Miri, pada Selasa.
Tambah beliau, pelaksanaan projek menaik taraf dan baik pulih infrastruktur sekolah mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keperluan kemudahan fizikal institusi pendidikan terus dipenuhi.
Beliau menegaskan sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan dan kemudahan lengkap bukan sahaja menyokong pembelajaran, malah pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh.
“Kami akan terus memberi perhatian kepada keperluan sebenar sekolah-sekolah di Miri dan menyalurkan bantuan melalui pelbagai program termasuk RTP agar pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan selesa,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan projek menaik taraf dua gelanggang bola keranjang di SM Sains Miri yang menerima peruntukan RM400,000 kini hampir siap.
Katanya, projek tersebut dilaksanakan dalam dua fasa iaitu RM250,000 bagi menaik taraf gelanggang terbuka kepada berbumbung serta RM150,000 bagi kerja menurap semula permukaan gelanggang kedua dan mencantikkan kawasan sekitar.
Menurut beliau, kerja-kerja kini berada di peringkat akhir dengan hanya berbaki kemasan sebelum dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.
Jelasnya, penambahbaikan itu akan meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan selain menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti sukan, sekali gus memupuk gaya hidup sihat dan semangat berpasukan.
Secara keseluruhan, sebanyak RM650,000 telah disalurkan melalui RTP kepada SM Sains Miri sejak 2018 bagi menaik taraf pelbagai kemudahan sekolah tersebut.-EDISI UKAS