RM11.4 Juta Baik Pulih Jalan, RM480,000 Naik Taraf Lampu Diluluskan di Senadin
MIRI: Usaha menambah baik infrastruktur pasca banjir di DUN Senadin diperkukuh menerusi kerja menaik taraf dan pemulihan 21 jalan di kawasan berkenaan dengan kelulusan peruntukan berjumlah RM11.4 juta.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.48 juta diperuntukkan khusus bagi menaik taraf dan memulihkan Jalan Ilmu sepanjang 1.245 kilometer yang kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 10 Disember ini.
Menurut beliau, tambahan RM10 juta turut dipohon dan telah disalurkan kepada Majlis Bandaraya Miri bagi kerja pemulihan melibatkan 20 jalan di kawasan Senadin, Tudan dan Permyjaya.
“Kerja-kerja ini melibatkan mengisar dan menurap semula jalan serta kerja pemulihan yang diperlukan,” katanya ketika menghadiri perbincangan projek infrastruktur di bawah DUN N.75 Senadin di bilik mesyuarat Majlis Bandaraya Miri, di sini, pada Rabu.
Beliau memaklumkan, tender bagi projek tersebut dijangka dipanggil minggu ini, dengan kerja fizikal dijadual bermula pada akhir Oktober atau awal November.
Dalam pada itu, sebanyak RM3 juta turut diluluskan bagi pelaksanaan kerja saliran di Desa Senadin, Permyjaya dan Tudan, termasuk usaha menangani isu aliran air serta pembersihan kolam takungan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
Tambah beliau, kerja pembersihan kolam takungan telah dilaksanakan sebanyak dua kali termasuk yang siap baru-baru ini sebagai langkah mitigasi banjir di kawasan terlibat.
Selain itu, sebanyak RM480,000 diperuntukkan bagi menggantikan 400 unit lampu jalan kepada lampu LED di beberapa lokasi termasuk Desa Senadin, Jalan Ilmu, Jalan Sukma, Jalan Kiambang, Jalan Sena, Jalan Mulia, Jalan Dato Permaisuri, Tudan, Permyjaya dan Riam.
Penggantian lampu tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pertengahan Oktober dan dijangka siap sepenuhnya pada November.
Beliau berharap semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kemudahan jalan raya, sistem saliran dan pencahayaan awam di kawasan Senadin terus dipertingkat demi kesejahteraan penduduk setempat.-EDISI UKAS