ICACA 2026 Perkasa Sinergi Seni, Budaya dan Teknologi Demi Masa Depan Lestari
KUCHING: Persidangan Antarabangsa Seni Gunaan dan Kreatif ke-8 (ICACA) 2026 menjadi platform penting memperkukuh kerjasama antara seni, budaya dan teknologi dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan lestari.
Perasmian persidangan tersebut telah disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Teater Eksperimental, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada Rabu.
Menurut Datuk Patinggi Fauziah, tema “Co-Creating Sustainable Future in Applied and Creative Arts Technology” amat signifikan kerana menekankan kepentingan kolaborasi pelbagai pihak termasuk universiti, penggiat seni, industri serta komuniti dalam menghasilkan idea yang bukan sahaja kreatif, malah memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau menegaskan, kepelbagaian budaya di Sarawak yang merangkumi 34 kumpulan etnik merupakan kekuatan utama negeri ini, dengan setiap komuniti menyumbang kepada identiti unik melalui seni, bahasa, adat dan tradisi masing-masing.
“Setiap hasil seni tradisional bukan sekadar memaparkan keindahan, tetapi turut mengandungi sejarah, identiti dan ilmu yang perlu dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan cabaran semasa dalam memastikan generasi muda terus menghargai dan mempelajari warisan budaya, khususnya apabila perubahan gaya hidup menyebabkan proses pewarisan tradisi semakin berkurangan.
Justeru, beliau menyeru agar lebih banyak peluang diwujudkan untuk golongan muda mendalami seni dan budaya melalui pendidikan, program komuniti serta bimbingan daripada pengamal berpengalaman.
Mengulas peranan teknologi, beliau berkata penggunaan platform digital seperti arkib digital, kecerdasan buatan dan realiti maya mampu membantu memelihara serta memperluas akses kepada warisan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Namun, beliau mengingatkan bahawa penggunaan teknologi perlu disertai dengan nilai tanggungjawab, ketepatan dan penghormatan terhadap asal-usul budaya serta penglibatan komuniti sebagai pemilik warisan tersebut.
Datuk Patinggi Fauziah turut mengiktiraf peranan UNIMAS dalam penyelidikan budaya dan dokumentasi, termasuk usaha mengkaji bahasa, menghasilkan dokumentari serta memelihara seni kraf tradisional, yang dilihat mampu memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap warisan negeri.
Tambah beliau, persidangan seperti ICACA bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu, malah mampu mencetuskan idea serta kolaborasi berterusan yang memberi impak jangka panjang kepada pembangunan seni dan budaya.
ICACA 2026 menghimpunkan para sarjana, artis, pengamal industri dan peserta dari dalam serta luar negara bagi membincangkan peranan seni gunaan dan kreatif dalam menyokong pembangunan mampan.-EDISI UKAS