Jerebu: Pengunjung SKS Betong Disaran Utamakan Kesihatan, Gunakan Pelitup Muka
KUCHING: Pengunjung Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong disaran mengutamakan kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan kebanyakan bahagian di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori tidak sihat.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Betong antara kawasan yang merekodkan IPU tidak sihat dengan bacaan 170 setakat jam 8 pagi Khamis.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, keadaan cuaca kurang baik dan jerebu ketika ini perlu diberi perhatian menjelang penganjuran SKS Bahagian Betong yang berlangsung dari 25 hingga 27 September di Kompleks Sukan Betong.
“Kita sama-sama doakan agar pada tiga hari ini cuaca akan bertambah baik dan jaga kesihatan kita, gunakan mask sekiranya yang kurang sihat itu supaya program SKS 25 hingga 27 September ini nanti berjaya dan memanfaatkan segala ruang dan peluang yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, di sini pada Khamis.
Sehubungan itu, orang ramai yang merancang menghadiri program berkenaan disaran mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kesihatan, khususnya individu yang kurang sihat, selain menggunakan pelitup muka apabila berada di kawasan terbuka atau lokasi tumpuan ramai.
SKS Bahagian Betong dijadualkan berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai pengisian disediakan kepada masyarakat dari pagi hingga malam.
Keadaan jerebu turut menjadi perhatian menjelang penganjuran program berkenaan susulan SKS Bahagian Mukah sebelum ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu.
Bagaimanapun, SKS Bahagian Betong diteruskan seperti dijadualkan, manakala sebarang perubahan susulan keadaan cuaca akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak penganjur. -EDISI UKAS