Pesta Tanglung SJK Chung Hua Matu Perkukuh Hubungan Sekolah dan Komuniti
MATU: Pesta Tanglung SJK Chung Hua Matu menjadi platform memperkukuh hubungan antara sekolah dengan komuniti setempat, selain memupuk semangat muhibah dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, berkata program berteraskan budaya seperti itu penting dalam menyediakan ruang interaksi antara warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
“Kepelbagaian budaya adalah kekuatan kita. Semangat muhibah dan perpaduan perlu terus dipupuk sejak di bangku sekolah demi keharmonian generasi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Tanglung SJK Chung Hua Matu di SJK Chung Hua Matu, pada Rabu.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti termasuk perarakan tanglung, persembahan murid, pertandingan Tanglung Catwalk serta jamuan bersama.
Penganjuran tersebut menyediakan ruang kepada warga sekolah dan komuniti untuk berinteraksi dalam suasana santai sambil meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat.
Penglibatan murid dalam aktiviti berkenaan turut memberi peluang kepada mereka mengenali dan menghayati nilai kebersamaan, saling menghormati serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.-EDISI UKAS