SKS Betong Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan Dengan Rakyat
KUCHING: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong menjadi platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat, perkhidmatan serta bantuan secara terus.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, pendekatan itu membolehkan masyarakat berinteraksi secara langsung dengan pegawai agensi berkaitan tanpa perlu berkunjung ke jabatan atau kementerian secara berasingan.
“Dan bukan hanya untuk kita melihat program ini sebagai satu acara hiburan dan sebagainya, tapi yang paling penting ialah ini sebagai satu platform, satu ruang untuk kita mendapatkan maklumat, perkhidmatan dan berinteraksi dengan pegawai-pegawai agensi-agensi yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS di sini pada Khamis.
Menurut beliau, masyarakat boleh mendapatkan maklumat berkaitan kebajikan, keusahawanan, ekonomi, kesihatan dan pendidikan secara terus daripada agensi berkaitan sepanjang program berkenaan.
Penganjuran SKS Betong sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui dengan lebih dekat pelbagai bantuan, kemudahan dan inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan mengikut keperluan masing-masing.
Selain penyampaian perkhidmatan kerajaan, program selama tiga hari itu turut menawarkan pelbagai pengisian termasuk Pentas Rakyat, Konsert Rakyat, Aero Dance dan Stage Talent yang membuka ruang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian serta mengetengahkan bakat.
Sebanyak 40 cabutan bertuah turut disediakan sepanjang program dengan sebuah Perodua Bezza sebagai hadiah utama.
Antara hadiah lain ialah motosikal Yamaha EGO, kenderaan semua rupa bumi (ATV), barangan elektrik, gajet, televisyen serta pakej percutian lima hari empat malam ke Kuala Lumpur.
Masyarakat dari seluruh Bahagian Betong termasuk Kabong, Roban, Saratok, Pusa, Beladin, Meludam, Spaoh, Debak dan Betong digalakkan hadir bersama keluarga bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan.
Majlis Perasmian SKS Bahagian Betong dijadualkan berlangsung pada 26 September, jam 9 pagi di Kompleks Sukan Betong dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selepas majlis perasmian, Premier Sarawak turut dijangka mengadakan lawatan ke beberapa projek berimpak tinggi di kawasan Betong, termasuk Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Spaoh dan Agro Park yang melaksanakan projek pertanian berimpak tinggi.-EDISI UKAS