EEC 2026 Perkukuh Pendidikan Alam Sekitar, Lahir Generasi Celik Kelestarian
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh pendidikan alam sekitar dalam usaha melahirkan generasi celik isu kelestarian menerusi penganjuran Environmental Education Conference (EEC) 2026 yang bakal menghimpunkan kira-kira 350 peserta tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persidangan bertemakan ‘Empowering Future Generations Through Environmental Literacy’ itu akan memberi tumpuan kepada pengukuhan pengetahuan, nilai dan kemahiran generasi masa depan dalam menangani cabaran alam sekitar serta pembangunan mampan.
Menurutnya, EEC 2026 dianjurkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR), Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty) serta Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).
“Persidangan ini bertujuan mempromosikan kesedaran alam sekitar sepanjang hayat menerusi pendidikan alam sekitar berkualiti, selain mengiktiraf peranan kerajaan, organisasi, agensi, institusi, sekolah, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membentuk pemimpin muda yang mampu menerajui usaha pemeliharaan alam sekitar.
“EEC 2026 juga akan memperkukuh kapasiti pendidik, institusi dan pengamal menerusi perkongsian pengetahuan, pendedahan teknikal serta pendekatan pembelajaran alam sekitar berasaskan pengalaman dan tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media EEC 2026 di sini pada Khamis.
EEC 2026 akan berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober ini di The Imperial Hotel, Kuching dan dijadualkan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 27 Oktober.
Persidangan itu dijangka disertai kira-kira 100 delegasi antarabangsa termasuk penceramah serta 250 peserta tempatan yang terdiri daripada guru, wakil NGO, sektor swasta, agensi kerajaan, institusi pendidikan, ahli akademik dan komuniti.
Persidangan turut menampilkan barisan penceramah dari Malaysia dan luar negara dalam lima sesi pleno yang membincangkan pelbagai aspek pendidikan alam sekitar, termasuk kandungan alam sekitar setempat, pendekatan inovatif, pendidikan untuk planet, serta pembentukan pemimpin hijau bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu menambah, antara penceramah utama ialah Resident Representative UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkić serta Pakar Alam Sekitar dan Pengurangan Risiko Bencana UNICEF di Bangkok, Ismail Nnafie.
Selain perkongsian kepakaran, persidangan berkenaan dijangka memperkukuh kerjasama rentas sektor antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, akademia, NGO dan komuniti dalam usaha membangunkan pendidikan alam sekitar yang lebih menyeluruh di Sarawak.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah lagi, hasil EEC 2026 turut dijangka menyediakan input asas dan cadangan strategik bagi menyokong fasa pembangunan pendidikan alam sekitar seterusnya, di samping meningkatkan pengetahuan pendidik dan pengamal mengenai kelestarian alam sekitar, perubahan iklim serta keutamaan alam sekitar Sarawak.
Hadir sama semasa sidang media ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDenR) Datu Abdullah Julaihi, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam dan Ketua Bahagian Pendidikan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Donald Henry Nohed. -EDISI UKAS