RTP RM200,000 Tingkat Kemudahan Penduduk Kampung Lereng Bukit
MIRI: Kemudahan penduduk Kampung Lereng Bukit terus dipertingkat menerusi projek menaik taraf Dewan Serbaguna kampung berkenaan dengan peruntukan RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), sekaligus menyediakan ruang yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata kerja penambahbaikan dewan berkenaan kini telah siap dan melibatkan beberapa komponen utama.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, kerja berkenaan termasuk pemasangan pagar, penggantian bumbung, penambahbaikan sistem pencahayaan, mengecat semula bahagian dalam dan luar bangunan serta membaik pulih lantai.
“Kerja-kerja penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan keseluruhan persekitaran serta fungsi Dewan Serbaguna Kampung Lereng Bukit agar lebih selesa dan sesuai digunakan oleh penduduk setempat.
“Kami berharap selepas kerja-kerja penambahbaikan ini siap, tahap keselesaan dan keselamatan dewan dapat dipertingkatkan serta menyediakan ruang yang lebih sesuai kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan projek RTP di Dewan Serbaguna Kampung Lereng Bukit di sini pada Rabu.
Datuk Sebastian menambah, dewan serbaguna merupakan antara kemudahan awam penting di sesebuah komuniti kerana selain digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, ia turut boleh berfungsi sebagai pusat pemindahan ketika berlaku bencana seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh.
Katanya, kemudahan yang lengkap dan dalam keadaan baik penting bagi menyokong interaksi antara penduduk, memperkukuh hubungan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.-EDISI UKAS