Sarawak Cipta Sejarah, Terima Penyerahan Rasmi Tuan Rumah IWA WWCE 2028
GLASGOW: Sarawak bakal mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah bagi International Water Association (IWA) World Water Congress & Exhibition (WWCE) di Kuching sekali gus menandakan kali pertama acara berprestij itu diadakan di rantau ini.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam satu kenyataan media pada Isnin memberitahu, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah dimeterai menerusi penyerahan rasmi daripada Glasgow kepada Kuching sempena IWA World Water Congress & Exhibition 2026 di Glasgow, United Kingdom.
Penganjuran itu bakal membuka ruang kepada Sarawak untuk menyambut komuniti air global, di samping memperkukuh kerjasama antarabangsa dan perkongsian pengetahuan dalam sektor air.
Delegasi Sarawak ke IWA WWCE 2026 diketuai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang bersama pemimpin sektor air, profesional, pembuat dasar, penyelidik dan pemain industri dari seluruh dunia.
Menurut Datuk Liwan, Sarawak komited memastikan penganjuran IWA WWCE 2028 di Kuching mencapai kejayaan serta memberi impak kepada komuniti air global.
“Kami mengucapkan tahniah kepada IWA dan Glasgow atas kejayaan menganjurkan kongres pada tahun ini. Sebagai tuan rumah seterusnya, kami komited untuk memastikan IWA WWCE 2028 di Kuching menjadi kongres yang berjaya dan memberi impak.
“Kami mahu menghimpunkan komuniti air global di Sarawak untuk berkongsi pengetahuan, teknologi dan penyelesaian praktikal yang dapat membantu kita menangani cabaran berkaitan air pada masa kini dan akan datang,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran itu juga merupakan peluang kepada Sarawak untuk belajar daripada pengalaman global, memperkukuh kerjasama serta meneroka idea dan penyelesaian baharu bagi sektor air.
“Kami juga melihat ini sebagai peluang untuk Sarawak belajar daripada pengalaman global, memperkukuh kerjasama serta meneroka idea dan penyelesaian baharu bagi sektor air.
“Selain kongres, kami mahu para delegasi merasai sendiri pengalaman berada di Kuching dan Sarawak menikmati alam semula jadi, kepelbagaian budaya yang mencerminkan perpaduan dalam kepelbagaian, makanan tempatan serta layanan mesra masyarakat kita.
“Kami menantikan kehadiran komuniti air global ke Kuching pada 2028,” tambahnya.
IWA WWCE 2028 dijangka menjadi platform penting kepada komuniti air global untuk bertukar idea, pengalaman dan penyelesaian, selain memperkukuh perkongsian serta meneroka peluang baharu dalam sektor berkenaan.
Kongres itu akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching 2 (BCCK2), iaitu peluasan kepada Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) sedia ada.
Selain menghadiri kongres dan program penyerahan rasmi, delegasi Sarawak turut menyertai beberapa lawatan kerja di United Kingdom termasuk ke Winchburgh Wastewater Treatment Works dan University of Edinburgh.
Lawatan berkenaan bertujuan mendapatkan pendedahan mengenai amalan terbaik dalam operasi dan pengurusan loji, penyelidikan dan inovasi air, keselamatan air serta perubahan iklim, selain meneroka peluang perkongsian ilmu dan kerjasama.
Turut menyertai delegasi Sarawak ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Datu Ir. Ts. Awg. Mohammad Fadillah Awg. Redzuan, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ir. Ts. Tamida Da’adi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Malseni Jamal.
Delegasi turut disertai pegawai kanan serta wakil Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, JBALB, Sarawak Water dan Persatuan Air Malaysia (MWA) Cawangan Sarawak. -EDISI UKAS