Perkukuh Pengurusan Sisa Berasaskan Sumber, Jana Nilai Ekonomi
KUCHING: Pengurusan sisa perlu dilihat bukan sekadar sebagai usaha mengurangkan pelupusan, sebaliknya sebagai pendekatan untuk memanfaatkan semula sumber dan mencipta nilai ekonomi baharu.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendekatan Zero Waste Management 2.0 perlu diperluas meliputi pengurusan air, tenaga, karbon, sisa industri, bahan binaan, sisa makanan, biojisim dan air sisa.
Beliau berkata, peralihan tersebut penting bagi memastikan sumber yang ada dapat digunakan secara lebih berkesan, khususnya bagi negeri yang mempunyai sumber asli yang besar seperti Sarawak.
“Peralihan sebenar adalah daripada pengurusan sisa kepada pengurusan sumber,” katanya semasa berucap pada program Zero Waste Management 2.0 bertemakan ‘Water Without Waste: From Resources to Responsibility’ di UCSI Hotel Kuching, pada Isnin.
Datuk Dr Hazland berkata, konsep ekonomi kitaran membolehkan bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa diteroka semula sebagai bahan mentah, produk kitar semula, sumber tenaga atau peluang komersial baharu.
Katanya, pendekatan tersebut turut mampu mengurangkan kos operasi, merangsang inovasi, meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan bertanggungjawab serta mewujudkan peluang pekerjaan hijau.
Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi penyelidikan, komuniti dan sektor kewangan bagi memastikan penyelesaian berkaitan kelestarian dapat dikembangkan kepada skala komersial.-EDISI UKAS