SarawakPass Cipta Kejayaan, Raih Pengiktirafan Tertinggi DEA2026
KUCHING: Inisiatif SarawakPass kendalian Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Jabatan Premier Sarawak meraih pengiktirafan tertinggi Digital Economy Awards 2026 (DEA2026) apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ekonomi Digital Premier.
SarawakPass menerusi inisiatif SarawakPass: Powering Proactive, Citizen-Centric Government Services turut memenangi Anugerah Kerajaan Digital, sekali gus membolehkan SCSDU membawa pulang dua pengiktirafan pada edisi DEA2026.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Majlis Makan Malam Gala IDECS26 di Voco Kuching, di sini pada Isnin.
Sebagai penerima Anugerah Ekonomi Digital Premier, SCSDU menerima hadiah wang tunai RM20,000, manakala setiap pemenang kategori menerima RM10,000.
DEA2026 merekodkan sebanyak 128 penyertaan tahun ini berbanding 116 penyertaan pada 2025, manakala 75 penyertaan diterima bagi penilaian peringkat pertama berbanding 70 pada edisi sebelumnya.
Selain Anugerah Kerajaan Digital, SCSDU turut memenangi Anugerah Penyelesaian Pintar, manakala NEUON AI Sdn Bhd menerima Anugerah Inovasi AI dan One Medicare Sdn Bhd meraih Anugerah Kelestarian Alam Sekitar.
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula memenangi dua kategori menerusi Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan serta Anugerah Teknologi Digital, sementara OB Research Sdn Bhd menerima Anugerah Industri Kreatif Digital.
Pencapaian itu menyaksikan SCSDU dan UNIMAS masing-masing meraih dua anugerah kategori, dengan keseluruhan penerima DEA2026 mengetengahkan inovasi dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, kecerdasan buatan, penyelidikan dan pembangunan, kelestarian alam sekitar serta industri kreatif digital.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi IDECS, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi SMD Semiconductor, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi Sarawak Information Systems (SAINS), Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) merangkap Timbalan Pengerusi IDECS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, serta dif-dif kehormat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S Embie