Dato Lo Khere Chiang Bantu Keluarga Terjejas Akibat Pokok Tumbang
KUCHING: Sebuah keluarga di Batu 11, Kuching, berdepan detik mencemaskan apabila sebuah pokok besar tumbang akibat angin kencang dan menghempap rumah mereka sehingga menyebabkan kerosakan ketara.
Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.13 Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang bersama pasukannya segera turun padang menziarahi keluarga terjejas serta meninjau keadaan rumah berkenaan.
Dalam kunjungan itu, Lo turut menyampaikan sumbangan kewangan dan bantuan keperluan asas kepada keluarga terbabit sebagai tanda keprihatinan bagi meringankan beban mereka susulan kejadian tersebut.
Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Sarawak turut menyumbangkan kit kebersihan bagi membantu memenuhi keperluan asas keluarga berkenaan selepas kejadian.
Menurut Dato Ir Lo, apabila sesuatu bencana berlaku secara tiba-tiba, keluarga yang terjejas bukan sahaja memerlukan bantuan berbentuk material, malah perhatian, keprihatinan dan sokongan daripada masyarakat sekeliling.
“Kerjasama antara pemimpin masyarakat, badan sukarelawan, agensi berkaitan dan komuniti setempat dapat membantu keluarga berkenaan melalui tempoh sukar serta membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin masyarakat, pasukan sukarelawan, Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Sarawak serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas dan keprihatinan yang diberikan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.
Dato Ir Lo turut mendoakan agar keluarga berkenaan diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan tersebut serta dapat kembali menjalani kehidupan dalam keadaan selamat, selesa dan stabil dalam masa terdekat. -EDISI UKAS