Nur Syakura Bukti Sarawak Mampu Lahir Qariah Bertaraf Antarabangsa
KUCHING: Kejayaan Nur Syakura Mohamad Musa merangkul gelaran Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-66 2026, membuktikan Sarawak berupaya melahirkan qariah berkualiti untuk diketengahkan di persada dunia.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi kebanggaan masyarakat Sarawak, khususnya agensi Islam negeri.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan kesungguhan dan usaha gigih Nur Syakura dalam mengembangkan bakat serta menguasai seni bacaan Al-Quran sehingga berjaya mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
“Dengan usaha yang gigih yang telah dilaksanakan selama ini, terutama usaha gigih Ustazah Nur Syakura sendiri, beliau telah berjaya membuktikan bahawa kita di Sarawak mampu melahirkan peserta-peserta qari dan qariah yang berkualiti untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan Nur Syakura di Terminal Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini pada Ahad.
Nur Syakura, anak kelahiran Kuching yang berkhidmat sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Pusat Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), turut mengukuhkan rekod kecemerlangannya selepas menjuarai kategori qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M serta peringkat Sarawak Kali Ke-65, 2026.
Beliau sebelum ini turut meraih gelaran Johan Qariah peringkat Sarawak Kali Ke-62 pada 2023, sekali gus memperlihatkan konsistensinya dalam bidang tilawah Al-Quran.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, Majlis Islam Sarawak (MIS) akan terus mempergiat usaha melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti menerusi program pembangunan dan pengembangan Al-Quran.
Jelas beliau, usaha berkenaan antaranya dilaksanakan melalui Pusat Pengembangan Al-Quran dan Rohaniah di bawah MIS, yang menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan Al-Quran, termasuk pembacaan dan penyelidikan.
Hadir sama, Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Mual Suaud serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS