RM25,000 Perkasa Pembangunan Sukan Komuniti Di Demak Laut
KUCHING: Pembangunan sukan komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut terus diperkasa menerusi penyaluran sumbangan berjumlah RM25,000 kepada dua kelab sukan bagi menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni mengumumkan sumbangan tersebut sempena Majlis Perasmian dan Penangguhan Pertandingan Pickleball, Street Soccer dan Sepak Takraw di Dewan Taman Sepakat Jaya, pada Ahad.
Daripada jumlah itu, RM20,000 disalurkan kepada Kelab Pickleball Demak Laut, manakala RM5,000 kepada Kelab Silat Selendang Abadi Taman Sepakat Jaya bagi menyokong pembangunan dan aktiviti sukan di peringkat komuniti.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu menghimpunkan masyarakat setempat menerusi pelbagai acara sukan sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Pertandingan Pickleball dianjurkan bersama oleh KJM Taman Sepakat Jaya, Pine Villa dan Kelab Pickleball Demak Laut, manakala pertandingan Street Soccer dan Sepak Takraw dianjurkan SEBERKAS Taman Sepakat Jaya.
Penganjuran program seumpama itu turut menjadi platform mencungkil bakat sukan tempatan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah bagi menghindari gejala negatif.
Turut hadir, barisan ketua masyarakat dan ketua kaum kawasan Demak Laut serta wakil Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).-EDISI UKAS