Layar Cycling Carnival Terus Diperkasa, Mutu Pertandingan Ditingkatkan
BETONG: Penganjuran Layar Cycling Carnival akan terus diperkasa pada masa hadapan bagi meningkatkan prestij pertandingan serta melahirkan atlet berbasikal tempatan, khususnya dari Betong yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perancangan penambahbaikan termasuk meneliti kemungkinan memanjangkan jarak perlumbaan berdasarkan kesesuaian rangkaian jalan raya dan pematuhan terhadap keperluan keselamatan.
Menurut beliau, penganjuran Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 2026 berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden kemalangan, hasil kerjasama erat antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Majlis Daerah Betong, SABERKAS Cawangan Layar serta agensi kerajaan yang lain.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Layar Cycling Carnival Edisi Ke-8 2026 di RTC Layar, Betong, pada Ahad.
Datuk Gerald berkata, usaha berterusan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan mutu pertandingan serta memastikan laluan perlumbaan yang dipilih mampu menawarkan pengalaman menarik kepada peserta tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Dalam usaha membangunkan bakat tempatan, beliau berkata Sarawak mempunyai potensi besar untuk melahirkan lebih ramai atlet berbasikal yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa.
Katanya, pencapaian tiga pingat emas dalam acara berbasikal pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 membuktikan keupayaan atlet Sarawak untuk terus mencipta kejayaan dalam sukan berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan bakat perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan lebih ramai anak Sarawak, khususnya dari Betong, berpeluang mengembangkan potensi dan mencapai tahap kecemerlangan dalam sukan berbasikal.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur jalan raya di Sarawak turut membuka peluang lebih luas kepada penganjuran acara berbasikal, termasuk laluan dari Sri Aman ke Betong menerusi Jambatan Batang Lupar 2 yang bakal siap.
“Pembangunan infrastruktur seperti jambatan bukan sahaja menguntungkan rakyat dari aspek perhubungan fizikal, malah turut menyokong pembangunan sektor lain, termasuk sukan,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen dalam menyediakan infrastruktur yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan sukan dan kesejahteraan rakyat.
Tambahnya lagi, kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan penting bagi memastikan penganjuran acara sukan berlangsung dengan lancar dan selamat, selain membuka ruang kepada atlet Sarawak untuk melangkah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis penangguhan itu turut menyaksikan pelantikan Pejabat Daerah Betong sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengelola Layar Cycling Carnival bagi tempoh dua tahun akan datang berturut-turut. - EDISI UKAS