Kapit Memerlukan Pembangunan Seimbang Antara Infrastruktur & Modal Insan
KAPIT: Pembangunan kawasan luar bandar perlu melangkaui penyediaan infrastruktur dengan turut memberi penekanan kepada pendidikan, kemahiran, peluang ekonomi dan kebajikan masyarakat bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keseimbangan antara pembangunan fizikal dan modal insan penting untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan, pemimpin tempatan, agensi pelaksana dan komuniti menjadi faktor penting dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan dengan berkesan serta memenuhi keperluan sebenar penduduk.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini pada Ahad.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan di Kapit perlu mengambil kira cabaran geografi, keadaan kawasan pedalaman serta keperluan masyarakat rumah panjang supaya pelaksanaan setiap projek memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan dana baik pulih atap Rumah Naga telah diluluskan dengan peruntukan RM200,000.
Selain itu katanya, jalan dari Sut ke Kebiaw sepanjang enam kilometer turut diluluskan dan kini dalam proses pembayaran pampasan kepada pemilik tanah.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Timbalan Residen Bahagian Kapit, Robert Liman Deli, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Alvin Runggah Jimbun serta Wakil Pengarah KEMAS Sarawak, Peggy Ann Iba Matu. -EDISI UKAS