12,000 Kampit Beras Diagih, Ringankan Beban Golongan Memerlukan Di Miri
MIRI: Sebanyak 12,000 kampit beras diagihkan kepada golongan memerlukan menerusi program kebajikan anjuran Persatuan Penganut Dewa Some Shak Lung Kung Miri sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup masyarakat setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan sejak lebih sedekad lalu mencerminkan komitmen persatuan itu dalam membantu golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut beliau, bantuan beras yang dianggap sebagai keperluan harian biasa bagi sesetengah keluarga sebenarnya memberi makna besar kepada golongan berpendapatan rendah dan warga emas yang berdepan kekangan kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengagihan Beras Amal di Dewan Aktiviti Kuil Hai Long, Miri pada Ahad.
Dato Sri Lee turut memuji kesungguhan ahli jawatankuasa, penganut, penyumbang dan sukarelawan yang berganding bahu memastikan kelancaran program berkenaan, termasuk urusan pengumpulan, pengangkutan serta pengagihan sumbangan.
Katanya, kejayaan program itu bukan hanya diukur melalui jumlah bantuan diagihkan, sebaliknya kesungguhan persatuan untuk terus mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa badan keagamaan bukan sahaja berperanan memelihara kepercayaan dan warisan budaya, malah turut menyumbang kepada keharmonian masyarakat menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial.
Sehubungan itu, Dato Sri Lee berharap lebih ramai golongan muda tampil menyertai aktiviti kesukarelawanan bagi memupuk nilai keprihatinan, sikap saling menghormati serta semangat membantu sesama masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan berharap usaha kebajikan seumpama itu terus dilaksanakan demi kesejahteraan serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Miri.-EDISI UKAS