Pemberian Subsidi Makanan Ternakan Bantu Penternak Tempatan
KUCHING: Program subsidi makanan ternakan bersasar perlu diperkenalkan bagi mengurangkan kos pengeluaran, membantu penternak kecil dan meningkatkan pengeluaran daging tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, kos makanan ternakan yang tinggi merupakan antara cabaran utama industri penternakan kerana memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran, margin keuntungan dan harga daging tempatan.
Menurutnya, walaupun penternak dibekalkan baka ternakan berkualiti, usaha mengembangkan operasi mereka akan terus berdepan kekangan sekiranya kos makanan ternakan kekal tinggi.
“Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Sarawak memperkenalkan program subsidi makanan ternakan bersasar bagi membantu penternak tempatan, khususnya penternak kecil dan usahawan luar bandar yang terlibat dalam penternakan lembu, kambing dan bebiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan peruntukan RM24.57 juta di bawah Belanjawan Sarawak 2027 untuk pembangunan industri ternakan, termasuk RM18.5 juta bagi penyediaan baka pembiak berkualiti dan RM3.37 juta untuk pembangunan ternakan komersial.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru sokongan kerajaan terhadap aktiviti pembiakan dan penggemukan lembu, selain memperluas kerjasama antara agensi kerajaan, pelabur swasta dan penternak tempatan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada bekalan makanan import untuk selama-lamanya di mana kita perlu memperkukuh kapasiti pengeluaran tempatan, menggalakkan lebih ramai petani menceburi sektor pertanian komersial serta membangunkan rantaian bekalan yang lengkap merangkumi aktiviti penanaman, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran.
“Melalui usaha ini, kita dapat meningkatkan sekuriti makanan di samping mewujudkan sumber pendapatan yang mampan bagi komuniti luar bandar,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS