Sarawak Perlukan Politik Penyampaian Bukan Politik Penafian - Dato Miro
KUCHING: Sarawak memerlukan pendekatan politik yang mengutamakan hasil dan penyampaian kepada rakyat, bukannya menafikan pencapaian yang telah diraih negeri ini dalam memperkukuh kewangan, menarik pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mengiktiraf usaha dan pencapaian yang membawa manfaat kepada Sarawak serta rakyatnya.
“Jika sesuatu itu baik untuk Sarawak, kita mesti berani mengakuinya, tanpa mengira siapa yang mencapainya. Sarawak berhak mendapat politik penyampaian, bukan politik penafian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Menurut beliau, perkembangan Sarawak pada 2026 membuktikan negeri ini terus memperkukuh kedudukan kewangannya, menarik pelaburan dan membangunkan sektor ekonomi baharu, sekali gus menepis ramalan bahawa Sarawak akan bankrap menjelang 2022.
Menurutnya, Sarawak kini giat membangunkan sektor keselamatan tenaga, tenaga hijau, ekonomi digital dan industri bernilai tinggi, selain mengambil tanggungjawab lebih besar dalam menentukan hala tuju ekonominya sendiri.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan itu perlu dinilai berdasarkan fakta dan pencapaian sebenar, bukannya ramalan politik yang meragui keupayaan Sarawak untuk terus maju.
“Ramalan bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun tidak menjadi kenyataan. Tujuh tahun kemudian, Sarawak masih berdiri, lebih kukuh, lebih yakin dan lebih bertekad membina masa depannya sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak pembangkang supaya tidak memandang rendah keupayaan Sarawak, termasuk tekad negeri ini untuk terus memperjuangkan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -EDISI UKAS