Program Menyemai Bakti IKMAS Ke-25 Perkukuh Silaturahim Pelajar
ASAJAYA: Seramai 56 pelajar Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) menyertai Program Menyemai Bakti IKMAS Kali Ke-25 Tahun 2026 di Daerah Asajaya dari 20 hingga 29 Oktober ini bagi memperkukuh hubungan silaturahim, menyemai nilai murni serta mendekatkan golongan pelajar dengan masyarakat setempat.
Program selama 10 hari itu memberi peluang kepada para pelajar menghayati kehidupan bermasyarakat apabila mereka ditempatkan bersama lapan keluarga angkat, sekali gus membolehkan mereka memahami kepelbagaian budaya tempatan serta mengaplikasikan ilmu agama dan kemahiran komunikasi dalam kehidupan seharian.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin yang menyambut baik inisiatif berkenaan sebagai wadah memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberikan pengalaman baharu kepada para pelajar, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk berkongsi pengalaman, nilai kehidupan dan budaya tempatan dengan generasi muda.
Menurutnya, pendekatan dakwah yang berkesan perlu diterjemahkan melalui akhlak mulia, tutur kata yang baik, sikap saling menghormati serta keprihatinan terhadap keperluan masyarakat.
Justeru, beliau berharap para pelajar memanfaatkan sepenuhnya tempoh bersama keluarga angkat untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memahami realiti kehidupan masyarakat di luar persekitaran institusi pendidikan.
Program itu turut memberi peluang kepada para pelajar mengenali keunikan masyarakat Daerah Asajaya, termasuk kepelbagaian dialek, budaya dan latar belakang komuniti di Kampung Tambirat, Kampung Serpan Ulu, Kampung Serpan Laut serta Sadong Jaya.
Beliau turut berharap hubungan kekeluargaan yang terjalin menerusi program itu akan terus dipelihara walaupun selepas program berakhir, sekali gus menjadi asas kepada jaringan silaturahim yang berkekalan antara IKMAS dengan masyarakat Daerah Asajaya.
Majlis penutupan Program Menyemai Bakti IKMAS Kali Ke-25 Tahun 2026 dijadualkan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir, Pengarah IKMAS, Nor Azamir Alias, Temenggong Bahagian Samarahan, Dato Temenggong Chek Bujang, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Samarahan, Aswat Osen, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat, Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, Mohd. Fadilah Junaidi mewakili Pengarah JAKIM Sarawak, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup serta Pemanca Daerah Asajaya, Salleh Kamis.-EDISI UKAS