KANOWIT: Projek pembinaan bumbung tambahan di hadapan Rumah Ramba Resang, Nanga Dap, siap dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek bernilai RM150,000 tersebut merupakan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.
Katanya, sebanyak 201 projek RTP telah dilaksanakan di kawasan DUN Ngemah sepanjang lima tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat, manakala 19 projek lagi masih belum siap.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta Perasmian Projek RTP di rumah panjang berkenaan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau berharap projek yang masih dalam pelaksanaan dapat disiapkan secepat mungkin, selain meminta penduduk bersabar sementara proses pelaksanaannya diselesaikan.
Menurutnya, pembangunan kawasan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan RTP, sebaliknya penduduk boleh mengemukakan isu dan keperluan setempat untuk dibawa kepada kementerian serta agensi berkaitan.
Pada majlis itu, Anyi mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2027 sebanyak RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ramba serta RM3,000 kepada JKKK yang diwakili 35 tuai rumah yang hadir.
Sementara itu, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang memuji komitmen dan prestasi Anyi dalam melaksanakan pembangunan di kawasan Ngemah.
Beliau turut menggesa penduduk terus memberikan sokongan kepada kepimpinan yang telah menunjukkan pencapaian dalam pembangunan luar bandar.
Sebagai sokongan, Wilson mengumumkan peruntukan MRP sebanyak RM5,000 kepada JKKK Rumah Ramba dan RM2,000 kepada JKKK daripada 35 tuai rumah yang hadir.
Turut hadir isteri ADUN Ngemah, Gelim Utan, wakil Pegawai Daerah Kanowit Hermon Gilbert Sinju serta Pemanca Charlie Salang.-EDISI UKAS