Sarawak Catat RM289.2 Juta Kerugian Akibat Jenayah Siber Sejak 2024
KUCHING: Kerugian akibat jenayah siber di Sarawak mencecah RM289.2 juta melibatkan 8,576 kes yang direkodkan sepanjang tempoh 2024 hingga September 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran dan literasi keselamatan digital dalam kalangan masyarakat.
“Angka ini amat membimbangkan kerana jenayah dalam talian bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kestabilan psikososial individu dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Menurutnya, kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai ancaman penipuan dalam talian, termasuk Kursus Anti Scam Literacy di Sibu pada Jun 2026.
Selain itu katanya, Program Wacana Bestari: Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber turut dilaksanakan di Miri pada Ogos dan Kuching pada September tahun ini.
Jelasnya, seramai 438 peserta mendapat pendedahan menerusi program berkenaan yang merangkumi modus operandi jenayah siber, langkah pencegahan, perlindungan data peribadi serta saluran pelaporan dan bantuan.
“Kementerian akan terus memperkukuh literasi keselamatan digital bagi meningkatkan keupayaan masyarakat terhadap ancaman jenayah siber, sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: George S. Embie