Isu Disiplin Perlu Ditangani Awal, Elak Salah Laku Berlarutan
KUCHING: Isu disiplin dalam kalangan penjawat awam perlu dikenal pasti dan ditangani awal menerusi pemantauan serta penyeliaan yang lebih berkesan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menegaskan, langkah pencegahan dan tindakan awal amat penting memandangkan kes disiplin yang dilaporkan kepadanya merangkumi pelbagai kategori, termasuk masalah kewangan, penyalahgunaan dadah dan ketidakhadiran bertugas.
“Bagi saya, langkah pencegahan adalah sangat penting. Apa juga isu berkaitan disiplin, kita mesti menyelesaikannya di peringkat awal dan jangan sampai ia menjadi melarat sebelum kita hendak menyelesaikan masalah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Sesi Libat Urus Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) bersama PANS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak di sini, pada Khamis.
Sementara itu jelasnya, tanggungjawab menangani isu disiplin bukan hanya terletak pada pegawai yang melakukan kesalahan, sebaliknya turut menuntut kepekaan dan ketegasan penyelia dalam memastikan pemantauan dilaksanakan secara berterusan.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan sistem penyeliaan apabila terdapat kes ketidakhadiran bertugas yang berlarutan sehingga melebihi 1,000 hari tanpa ditangani lebih awal.
“Bayangkan, tidak turun kerja lebih 1,000 hari. Adakah terdapat penyeliaan? Mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan penyeliaan itu,” katanya.
Turut hadir, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi SPANS, Datu Kameri Affandi serta Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir