Peruntukan MRP Berjumlah RM79,000 Disalurkan Kepada 16 Penerima di Jemoreng
MATU: Sebanyak RM79,000 menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 16 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng bagi menyokong aktiviti pendidikan, keagamaan dan kemasyarakatan.
Peruntukan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya, di Seberang Pasar Matu, pada Khamis.
Beliau berharap agar peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menjayakan aktiviti yang dirancang.
Datuk Dr. Juanda turut menegaskan kerajaan akan terus menyokong inisiatif pembangunan komuniti demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Jemoreng.
Daripada jumlah itu, 10 penerima terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), lima surau sekolah dan sebuah persatuan, iaitu Persatuan Nelayan Kawasan Matu.
Antara penerima ialah PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Matu, SK Sekaan Kechil, SK Sok, SK Orang Kaya Sergunim, SK Orang Kaya Selair, SK Pergau, SJK Chung Hua, SK Bawang Tian dan SK Bruan Mapal.
Turut menerima peruntukan ialah lima surau sekolah di kawasan Matu bagi menyokong aktiviti keagamaan dan keperluan berkaitan.-EDISI UKAS