Projek Jalan Baharu RM19 Juta Hubungkan Seberang Pasar Matu
MATU: Projek pembinaan baharu Jalan Seberang Pasar Matu bernilai RM19 juta dijangka membawa perubahan besar kepada pembangunan kawasan berkenaan, khususnya dalam meningkatkan kemudahan perhubungan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pelaksanaan projek itu merupakan antara hasil pembangunan yang berjaya direalisasikan selepas penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Menurut beliau, sebanyak RM95 juta diperuntukkan menerusi RADDA bagi kawasan N.44 Jemoreng, termasuk RM19 juta untuk projek pembinaan jalan baharu berkenaan.
“Usaha menghubungkan kawasan yang masih belum mempunyai akses jalan raya merupakan hasrat yang telah dirancang sejak kira-kira 10 tahun lalu, selepas saya diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan projek itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah kepada kontraktor, Jia Xing Development Sdn. Bhd.
Menjelas lanjut, Datuk Dr Juanda berkata, pembangunan kawasan yang masih belum mempunyai kemudahan jalan raya, khususnya di seberang Kampung Bertong dan sekitar Pasar Matu, merupakan keutamaan bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik.
Beliau turut menyifatkan projek itu sebagai langkah penting dalam membawa perubahan baharu kepada pekan Matu, termasuk merealisasikan perancangan menjadikan kawasan Pasar Matu sebagai pusat rekreasi dan riadah keluarga.
Menurutnya, perancangan pembangunan kawasan persisiran sungai atau pesisir air di seberang sungai juga berpotensi dilaksanakan pada masa hadapan bagi menambah tarikan serta menyediakan ruang yang lebih selesa untuk masyarakat setempat.
Datuk Dr Juanda turut merakamkan penghargaan kepada JKR atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek pembangunan di bawah RADDA dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berharap projek berkenaan menjadi permulaan kepada lebih banyak projek pembangunan yang akan dilaksanakan di seluruh kawasan Jemoreng, sekali gus meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat.
Projek yang turut melibatkan perunding, Perunding Hazat Sdn. Bhd. itu bermula pada 20 Oktober 2026 dan dijadualkan siap pada 19 April 2028 dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.
Skop pembinaan merangkumi jalan utama sepanjang 1.776 kilometer, termasuk tiga jalan cabang, lintasan kecil, sistem perparitan serta pemasangan kelengkapan jalan.
Kemudahan tersebut akan menghubungkan Jalan Pasar Lama, Sekaan Besar, Matu dengan kawasan di seberang Sungai Kampung Bertong, sekali gus meningkatkan akses penduduk dan membuka ruang kepada penyediaan kemudahan asas lain termasuk bekalan air dan elektrik.-EDISI UKAS