Projek Naik Taraf Stadium Sarawak Memasuki 100 Hari Terakhir Menjelang Sukan SEA 2027
KUCHING: Projek naik taraf Stadium Sarawak kini memasuki fasa 100 hari terakhir sebelum siap, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam persiapan negeri ini untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-34 pada 2027.
Pencapaian itu diraikan menerusi perhimpunan hampir 100 anggota pasukan projek yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee bersama pegawai Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), perunding serta kontraktor pada Khamis.
Program bertemakan “The Race to 100 Days to Completion” itu diadakan bagi meraikan kemajuan yang dicapai setakat ini, di samping menghargai usaha bersama dan komitmen semua pihak dalam mentransformasikan stadium ikonik berkenaan menjadi sebuah venue sukan bertaraf dunia.
Program pada sebelah petang itu turut diisi dengan acara lari berganti-ganti, sepakan penalti dan jamuan minum petang, sekali gus memberi peluang kepada anggota pasukan untuk mengeratkan hubungan, memperkukuh kerjasama serta menghargai sumbangan semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan projek berkenaan.
Transformasi Stadium Sarawak kini semakin ketara apabila struktur fasad dan bumbung baharunya semakin menampakkan reka bentuk.
Pemasangan tempat duduk penonton baharu yang menampilkan warna bendera Sarawak turut menyerlahkan identiti negeri pada stadium berkenaan.
Stadium yang dinaik taraf itu dijadual menjadi tumpuan pada 18 September 2027 apabila Sarawak menjadi tuan rumah bagi majlis pembukaan rasmi Sukan SEA ke-34.
Projek berkenaan merupakan antara komponen penting dalam persiapan negeri untuk menganjurkan temasya sukan serantau itu, yang dijangka menyerlahkan keupayaan Sarawak dalam mengendalikan acara berskala besar serta memberikan pengalaman bermakna kepada atlet, pegawai dan penonton.
Kemajuan yang dicapai setakat ini mencerminkan penyelarasan rapi dan komitmen tinggi pasukan projek, dengan semua pihak digesa mengekalkan momentum kerja di samping memastikan standard kualiti dan keselamatan tertinggi terus dipatuhi.
Lebih daripada sekadar kerja-kerja menaik taraf kemudahan fizikal, projek itu turut mencerminkan aspirasi dan tekad Sarawak untuk memastikan penganjuran Sukan SEA yang berjaya bagi negeri ini dan Malaysia.
Dengan bermulanya kiraan detik 100 hari terakhir, tumpuan kini diberikan kepada usaha memastikan projek itu disiapkan mengikut standard yang ditetapkan serta bersedia menyokong kelancaran penganjuran temasya sukan serantau berkenaan. - EDISI UKAS