Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak Jadi Panduan Perkukuh Intervensi Bersasar
KUCHING: Dapatan awal Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak (SCWI) yang menunjukkan 54 peratus kanak-kanak mengalami kekurangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi kesejahteraan menjadi asas penting kepada Kerajaan Sarawak untuk merangka intervensi lebih bersasar, khususnya dalam aspek pendidikan, keselamatan dan sokongan emosi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kajian pertama seumpamanya di Sarawak yang melibatkan 3,124 kanak-kanak itu membolehkan kerajaan mengenal pasti kumpulan serta kawasan yang memerlukan perhatian khusus.
“Ini yang kita mahu tahu. Di mana kita perlu memberi lebih perhatian selepas kajian ini dijalankan supaya intervensi bersasar dapat dilaksanakan,” katanya dalam
sidang media di sini, pada Khamis.
Beliau menambah, kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu menilai tujuh dimensi kesejahteraan merangkumi ekonomi, pendidikan dan perkembangan, sosial, emosi dan budaya, kesihatan dan pemakanan, hubungan keluarga dan rakan sebaya, keselamatan dan sekuriti serta akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dapatan kajian menunjukkan 54 peratus kanak-kanak mengalami kekurangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi kesejahteraan, manakala 30.5 peratus berdepan kekurangan dalam sekurang-kurangnya empat dimensi.
Dalam aspek pendidikan, walaupun 95.5 peratus kanak-kanak menyatakan mereka gembira dengan pembelajaran, lebih satu pertiga masih belum mencapai tahap ditetapkan dalam pemahaman matematik, manakala seorang daripada empat kanak-kanak belum mencapai tahap literasi yang ditetapkan.
Bagi aspek keselamatan dan sokongan emosi, sebanyak 49 peratus kanak-kanak kecil tidak mencapai tahap ditetapkan bagi keselamatan fizikal di rumah dan persekitaran harian, sementara hampir 30 peratus kanak-kanak tidak mempunyai seseorang untuk berbual ketika berasa kesunyian.
“Dapatan turut menunjukkan jurang akses kemudahan asas dan digital, dengan 82 peratus kanak-kanak mencapai tahap ditetapkan bagi akses air bersih, manakala hampir separuh kanak-kanak bersekolah masih tidak mempunyai akses mencukupi kepada peranti pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, kajian berkenaan turut mengenal pasti Miri dan Kota Samarahan sebagai antara bahagian yang mencatatkan pencapaian di bawah purata negeri dalam beberapa dimensi kesejahteraan.
Menurut Dato Sri Fatimah, penemuan tersebut memperlihatkan kepentingan pendekatan intervensi yang mengambil kira perbezaan geografi serta keperluan setempat.
Beliau berkata, dapatan awal SCWI akan dijadikan panduan dalam merancang dasar dan program yang lebih responsif terhadap keperluan kanak-kanak menerusi kerjasama pelbagai agensi, khususnya sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pihak berkuasa tempatan.-EDISI UKAS