Kesihatan Mental, Komunikasi Harmoni Asas Keluarga Kukuh
KUCHING: Kesihatan mental dan komunikasi berkesan antara suami isteri perlu diberi perhatian sebagai asas membina institusi keluarga yang kukuh, khususnya dalam menghadapi tekanan kewangan, tuntutan pekerjaan dan cabaran keibubapaan.
Timbalan Pengarah 1 (Dasar) Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine berkata, masalah kesihatan mental dan tekanan emosi tidak seharusnya dipandang negatif, sebaliknya individu yang mengalaminya perlu didekati dengan empati serta diberikan sokongan sewajarnya, termasuk bantuan profesional apabila diperlukan.
“Usaha mendapatkan rawatan, bimbingan dan sokongan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya sebahagian daripada ikhtiar untuk memelihara kesihatan diri serta keharmonian keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Seminar Kaunseling Syarie bertemakan Kesihatan Mental dan Keharmonian Perkahwinan: Teras Kesejahteraan Ummah di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini pada Khamis.
Menurut Abang Borhanuddin, institusi perkahwinan merupakan amanah yang perlu dibina berlandaskan kasih sayang, tanggungjawab dan ihsan bagi mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Katanya, pendekatan Kaunseling Syarie berperanan membantu pasangan memperbaiki komunikasi, mengurus emosi dan mencari penyelesaian terhadap konflik rumah tangga berlandaskan prinsip Islam serta amalan profesional yang beretika.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara institusi agama, sektor kesihatan, agensi sosial dan komuniti bagi memastikan individu serta keluarga yang berdepan masalah mendapat bantuan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menggariskan tiga keutamaan yang perlu diperkukuh, iaitu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, menyuburkan komunikasi dan kasih sayang dalam rumah tangga serta membudayakan usaha mendapatkan bantuan profesional tanpa dibatasi stigma masyarakat.
Jelasnya, ilmu dan kesedaran yang diperoleh menerusi seminar berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata dalam pengurusan keluarga, amalan profesional dan pelaksanaan program pembangunan komuniti. -EDISI UKAS