RM830,000 Diperuntukkan Naik Taraf Jalan Pertanian Tiga Kampung Di Opar
LUNDU: Peruntukan RM830,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf jalan pertanian di Kampung Sebigo Dayak, Kampung Titiakar dan Kampung Biawak dijangka memperbaiki akses ke kawasan pertanian serta memudahkan pengangkutan hasil tanaman penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan perlu mengambil kira keperluan sebenar penduduk bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan dapat menyokong aktiviti harian dan ekonomi masyarakat luar bandar.
Daripada jumlah itu, RM320,000 diperuntukkan bagi Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Sungai Merah di Kampung Sebigo Dayak, manakala RM330,000 lagi bagi Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Kampung Titiakar.
“Kedua-dua projek masih di peringkat perancangan awal dan akan melalui lawatan susulan bagi mendapatkan ukuran serta memuktamadkan skop kerja sebelum pelaksanaan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke ketiga-tiga projek berkenaan, di sini pada Khamis.
Menurutnya lagi, kerja bagi kedua-dua projek melibatkan menaik taraf jalan tanah kepada jalan berbatu selebar 10 kaki, termasuk pembinaan pembetung bagi meningkatkan kemudahan perhubungan ke kawasan pertanian.
Sementara itu, satu lagi projek bernilai RM180,000, iaitu Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Engkabang Batu, Kampung Biawak Fasa 2, telah siap sepenuhnya pada 5 Oktober 2026.
Projek yang bermula pada 8 April 2026 itu merangkumi kerja menaik taraf jalan tanah kepada jalan berbatu serta pembinaan pembetung kotak berkembar.
Billy dalam pada itu turut memaklumkan bahawa beberapa lagi projek pembangunan di Kampung Biawak telah diluluskan dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat, termasuk Projek Penurapan Jalan Rumah ke Rumah Fasa 3 serta pemasangan lampu rumah ke rumah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu, Mohd Syafiee Ahmad. -EDISI UKAS