IGAN: Tiga projek infrastruktur yang melibatkan pembinaan benteng hakisan di Sungai Baru dan Sungai Sampan serta penaiktarafan sistem perparitan di Kampung Tengah siap dilaksanakan di Igan.
Penyerahan projek berkenaan disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya, pada Khamis.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan benteng hakisan di Sungai Baru dan Sungai Sampan berhampiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Ismail, Igan, dengan kos RM425,000.
Turut dilaksanakan ialah projek pembinaan baharu parit konkrit berhampiran Surau Kampung Baru Ismail, Igan, bernilai RM150,000 serta projek naik taraf sistem perparitan di Kampung Tengah, Igan, berjumlah RM380,000.
Pembinaan benteng hakisan bertujuan melindungi tebing sungai, kawasan kediaman dan kemudahan awam daripada hakisan, sekali gus meningkatkan keselamatan penduduk berhampiran.
Manakala, penaiktarafan sistem perparitan di Kampung Tengah bertujuan melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko air bertakung, khususnya ketika hujan lebat.
Sementara itu, Datuk Dr. Juanda turut meninjau kediaman yang dicadangkan menerima bantuan baik pulih menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Treng, Kampung Muut dan Kampung Pergau, Matu.
Lawatan itu bertujuan menilai keadaan rumah serta mengenal pasti keperluan setiap keluarga, termasuk aspek kerosakan, keselamatan dan keselesaan, sebelum kerja baik pulih dilaksanakan.-EDISI UKAS