Sukan SEA 2027: 22 Jawatankuasa Sarawak Perkemas Persiapan
KUCHING: Kesemua 22 jawatankuasa penganjur Sukan SEA Ke-34 2027 Kluster Sarawak perlu memperkukuh penyelarasan dan memperjelas tanggungjawab masing-masing bagi memastikan persiapan temasya sukan serantau itu berjalan lancar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, kejayaan penganjuran bergantung kepada kerjasama erat antara semua jawatankuasa, terutama dalam menyelaraskan keperluan operasi yang saling berkaitan.
"Setiap jawatankuasa perlu memahami peranan masing-masing serta mengenal pasti tanggungjawab yang bertindih, belum ditetapkan atau memerlukan sokongan jawatankuasa lain bagi mengelakkan kelemahan penyelarasan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Sukan SEA 2027 di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu katanya, bengkel berkenaan akan memberi tumpuan kepada semakan terma rujukan (TOR), pemuktamadan jadual pelaksanaan dan penyelarasan keperluan antara jawatankuasa supaya setiap tanggungjawab mempunyai pemilik, tarikh akhir serta tindakan susulan yang jelas.
Selain itu katanya, persiapan turut memfokuskan kepada penganjuran majlis pembukaan dan penetapan 18 daripada 43 acara sukan yang dipertanggungjawabkan kepada Sarawak, termasuk penyediaan venue, pengangkutan, penginapan, keselamatan, perkhidmatan perubatan dan sistem digital.
Secara keseluruhan, pelaburan bagi penganjuran Sukan SEA 2027 mencecah kira-kira setengah bilion ringgit, termasuk kerja menaik taraf stadium dan kemudahan sukan bagi memenuhi keperluan temasya.
Bengkel yang akan diadakan hingga Ahad itu menjadi platform untuk menyelaraskan perancangan dan mengenal pasti isu yang memerlukan keputusan lanjut bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) menjelang temasya yang menghimpunkan atlet dari 11 negara dari rantau Asia Tenggara.-EDISI UKAS