Sarawak Perkukuh Integriti Menerusi Kerjasama IACA
KUCHING: Sarawak memperkukuh usaha meningkatkan integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus apabila menjalin kerjasama pertama seumpamanya di Borneo dengan International Anti-Corruption Academy (IACA) menerusi Sarawak Regional Governance Leadership Programme 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, program yang dianjurkan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn. Bhd. (SCOPE) dan IACA itu akan berlangsung selama empat hari, dari 2 hingga 5 November 2026 di Pullman Kuching.
“Penganjuran ini merupakan satu pencapaian penting kerana ia adalah kerjasama yang pertama seumpamanya di Borneo di antara Kerajaan Sarawak yang diwakili oleh Union dan SCOPE dengan pihak IACA yang berpangkal di Vienna, Austria,” katanya pada sidang media di Kuching, pada Selasa.
Seramai 70 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sarawak dipilih daripada lebih 200 CeIO untuk mengikuti program yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kompetensi profesional dalam bidang integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus yang baik.
Program tersebut diadaptasi daripada program unggulan IACA, Regional Summer Academy (RSA), dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut konteks dan keperluan perkhidmatan awam Sarawak.
Empat tema utama diketengahkan menerusi program berkenaan, iaitu kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh integriti, inovasi dalam pencegahan rasuah, tadbir urus yang baik dan kepimpinan beretika serta pelaporan rasuah dan akauntabiliti.
Peserta turut mendapat pendedahan daripada pakar antarabangsa, kajian kes dan pendekatan praktikal termasuk penggunaan Big Data serta kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti risiko rasuah dan memperkukuh langkah pencegahan.
Menurut Datuk Dr. Juanda, pendedahan tersebut penting bagi memperluas pengetahuan CeIO dan membolehkan amalan terbaik diterapkan di agensi masing-masing.
“Kita mahu melahirkan pegawai integriti yang profesional, berkeyakinan dan berprinsip serta berani menegur kelemahan dan ketidakpatuhan berdasarkan fakta dan peraturan,” katanya.
Dalam pada itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNIONS dan IACA akan dimeterai semasa program berkenaan sebagai asas kepada kerjasama masa hadapan dalam pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan dan pembangunan profesional dalam bidang integriti serta pencegahan rasuah.
Kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada CeIO Sarawak untuk mengikuti Regional Summer Academy anjuran IACA pada masa hadapan, sama ada di IACA atau negara lain.
Program berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam budaya kerja dan tadbir urus di Sarawak, selain membantu membina institusi yang cekap, amanah, telus dan bertanggungjawab.- EDISI UKAS