Sarawak Rancang Persediaan Awal Hadapi Masyarakat Menua Menerusi SAB 2026–2030
KUCHING: Sarawak perlu memulakan persediaan lebih awal bagi menghadapi perubahan demografi dan peningkatan populasi warga emas menerusi pembangunan Sarawak Ageing Blueprint (SAB) 2026–2030.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persediaan menghadapi usia tua tidak seharusnya bermula ketika seseorang mencapai usia persaraan, sebaliknya perlu diterapkan sejak muda, khususnya dalam aspek kesihatan, kewangan dan penyediaan kediaman.
"Kita bukan sahaja membuat persediaan untuk warga emas hari ini, tetapi juga untuk warga emas masa depan. Persediaan perlu bermula sejak usia muda supaya generasi akan datang lebih bersedia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Bengkel Pemurnian Terma Rujukan Sarawak Ageing Council (SAC) dan Pembangunan Kerangka SAB di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, blueprint itu dibangunkan berdasarkan kajian menyeluruh dengan kerjasama Universiti Swinburne Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi mengenal pasti keperluan serta cabaran warga emas di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Kajian berkenaan memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu kesihatan, keselamatan ekonomi, persekitaran mesra warga emas, pembelajaran sepanjang hayat serta hak dan perlindungan.
Antara cabaran yang dikenal pasti ialah kesukaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan, masalah kewangan, kemudahan awam yang kurang mesra warga emas serta kesukaran menggunakan teknologi digital.
Bagi menangani keperluan tersebut, kerajaan negeri menyediakan Senior Citizen Health Benefits bernilai RM500 secara tanpa tunai kepada warga emas yang layak untuk mendapatkan rawatan pesakit luar, pemeriksaan kesihatan dan rawatan pergigian di hospital serta klinik swasta.
Tambah Dato Sri Fatimah, sokongan penjagaan juga perlu dipertingkatkan melalui perkhidmatan berasaskan komuniti dan di rumah, selain latihan serta bantuan kepada ahli keluarga yang bertanggungjawab menjaga warga emas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa blueprint berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan dan program yang memberikan manfaat sebenar kepada golongan berkenaan.
"Blueprint ini tidak boleh sekadar menjadi dokumen yang disimpan di rak, sebaliknya mesti menjadi pelan tindakan praktikal yang memandu keputusan kerajaan, perancangan belanjawan dan menghasilkan penambahbaikan nyata dalam kehidupan warga emas," jelasnya lanjut.
Hadir sama di majlis itu ialah Setiausaha Eksekutif MPS KPWK Riziandy Nawawi, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWK Nazmiyah Jamaludin, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sarawak Dr. Saidi Zain serta Perunding Utama daripada SMART Management Development Dr. Peter Jambai.-EDISI UKAS