RM2.16 Juta Peruntukan Pasang 325 Lampu Jalan LED Di Tebakang-Mongkos
TEBEDU: Sebanyak RM2.16 juta diperuntukkan bagi pemasangan 325 lampu jalan jenis LED di sepanjang Jalan Tebakang-Mongkos, dari Simpang Kampung Mayang Kawan hingga Kampung Muara Mongkos.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, penyediaan kemudahan lampu jalan itu merupakan antara usaha memperkukuh infrastruktur asas di kawasan luar bandar, selain memberikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat kepada penduduk setempat.
“Pemasangan lampu jalan akan diteruskan secara berperingkat di sepanjang jajaran jalan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup bagi memastikan lebih banyak kawasan menikmati kemudahan infrastruktur berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa simbolik pelancaran lampu berkenaan, di sini pada Jumaat.
Difahamkan, projek berkenaan turut merangkumi pemasangan tiang lampu serta tujuh unit transformer bagi memastikan sistem pencahayaan jalan dapat berfungsi dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Dalam pada itu, Datuk Martin turut mengingatkan pengguna supaya memanfaatkan kemudahan tersebut secara bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan jalan raya yang dilengkapi lampu sebagai lokasi perlumbaan haram.
Beliau turut meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) memberikan perhatian terhadap kerja-kerja pembersihan tumbuhan dan semak samun di bawah jajaran lampu jalan bagi memastikan pencahayaan tidak terhalang serta sistem berkenaan dapat berfungsi pada tahap optimum.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Tadbir Khas GKCDA Ts John Aten Pawang dan Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar. -EDISI UKAS