Malam Budaya Sarawak Meriahkan Program SKS Sri Aman 2026
SRI AMAN: Kepelbagaian seni dan warisan budaya masyarakat Sarawak menjadi tarikan utama Malam Budaya Sarawak sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 yang berlangsung meriah di Kompleks Sukan Sri Aman pada Jumaat.
Program berkenaan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, muzik dan nyanyian yang bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah mengetengahkan keunikan identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Antara artis tempatan yang menjayakan persembahan ialah Mawat, Olivia Christie, Firdaus Materang, Adellyna Yang, Roxy Ixy serta Sri Aman Project Band yang menghiburkan pengunjung dengan persembahan masing-masing.
Keunikan warisan budaya Sarawak turut diserlahkan menerusi persembahan tarian tradisional dan gendang pampat yang menjadi antara pengisian menarik sepanjang malam berkenaan.
Suasana bertambah meriah dengan celoteh pengacara DJ Sonic dan DJ Reenaz yang mencuit hati serta menceriakan pengunjung sepanjang program berlangsung.
Penganjuran Malam Budaya Sarawak itu dijayakan oleh kumpulan dan persatuan kebudayaan tempatan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Majlis Seni Sarawak (MSS).
Kesemua persembahan diselaraskan di bawah seliaan MSS sebagai usaha memberi ruang kepada artis tempatan mengetengahkan bakat, di samping memperkenalkan kekayaan seni dan warisan budaya Sarawak kepada masyarakat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS Awang Ikhman Awang Sepian serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS