Hari Apresiasi PIBG SK Gemuan Hargai Sumbangan Ibu Bapa
BINTANGOR: Kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak sekolah dan ibu bapa penting dalam menyokong pembangunan pendidikan serta memastikan perkembangan murid secara menyeluruh.
Perkara itu menjadi antara fokus penganjuran Hari Apresiasi PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Gemuan Tahun 2026 yang berlangsung di sekolah berkenaan pada Jumaat, bertujuan menghargai komitmen dan sumbangan ahli jawatankuasa PIBG dalam menjayakan pelbagai program sepanjang tahun.
Selain kecemerlangan akademik, sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat turut penting dalam membentuk sahsiah, disiplin, keyakinan diri serta kemahiran sosial murid.
Dalam usaha meningkatkan kemudahan pembelajaran, beberapa inisiatif pembangunan telah dilaksanakan di SK Gemuan, termasuk pembinaan dewan sekolah dan dinding pentas serta penyaluran bantuan kewangan.
Sempena majlis itu, sumbangan geran berjumlah RM3,000 turut diumumkan bagi menyokong penganjuran Hari Apresiasi PIBG SK Gemuan Tahun 2026.-EDISI UKAS