Dato’ Sri Huang Teruskan Usaha Bantu Pelajar Di Sarikei
SARIKEI: Seramai 5,917 pelajar daripada 46 sekolah di Sarikei menerima bantuan beg sekolah menerusi inisiatif Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii bagi meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Program tersebut merupakan usaha berterusan Dato’ Sri Huang yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia dalam memastikan tiada pelajar di kawasannya tercicir dari menerima pendidikan.
Selain itu, beliau berharap bantuan berkenaan dapat menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
“Pendidikan adalah asas penting dalam membentuk masa depan negara. Saya harap tiada pelajar yang tercicir atau berasa rendah diri hanya kerana kekurangan kelengkapan sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pengagihan Beg Sekolah di Sarikei, pada Jumaat.
Dato Sri Huang turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan peluang pendidikan yang adil dan saksama kepada semua pelajar tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas keprihatinan berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat serta pembangunan pendidikan negeri terus diberi perhatian.
Inisiatif tahunan yang dilaksanakan sejak 2019 itu melibatkan 46 sekolah, antaranya SMK St. Anthony, SK Methodist Anglo Chinese, SK St. Anne dan SMK Tinggi Sarikei.- EDISI UKAS