KMKK Diseru Main Peranan Rapatkan Jurang Keadilan Mahkamah Bumiputera
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru memainkan peranan lebih aktif dalam membantu mempercepat penyelesaian kes tertunggak di Mahkamah Bumiputera Sarawak menerusi kerjasama erat dengan pihak mahkamah dan Pejabat Daerah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, isu kes tertunggak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan masyarakat mendapat penyelesaian yang adil.
“KMKK memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami proses mahkamah, memastikan pihak-pihak yang terlibat hadir apabila dipanggil serta mengelakkan pertikaian daripada menjadi lebih rumit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penangguhan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak Peringkat Daerah Kapit di Hotel RH, pada Jumaat.
Seminar selama dua hari itu menghimpunkan 130 peserta terdiri daripada KMKK, pegawai seranta, kerani dan peon mahkamah dari Pejabat Daerah Kapit.
Menurut beliau, KMKK bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin masyarakat, malah turut memegang tanggungjawab sebagai Pegawai Pengetua dan Pengapit di Mahkamah Bumiputera Sarawak serta menjadi penghubung antara rakyat dengan institusi mahkamah.
Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya menjaga batas tanggungjawab masing-masing dan memastikan setiap kes dikendalikan secara telus serta teratur tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi demi memelihara integriti mahkamah.-EDISI UKAS