FGS 2026 Himpun Penggiat Seni Tradisional Serantau, Satukan Pelbagai Generasi
KUCHING: Festival Gendang Sarawak (FGS) 2026 menghimpunkan penggiat seni tradisional daripada pelbagai peringkat umur dari Sarawak, Brunei dan Indonesia menerusi Pertandingan Mega Gendang Melayu Sarawak 2026 yang berlangsung di Kuching Waterfront.
Pertandingan yang menjadi antara pengisian utama FGS edisi ke-12 itu merangkumi empat kategori, iaitu Mukun Berkumpulan, Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa, Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa dan Tandak Berpasangan Kanak-kanak.
Warih Melanau dari Sibu muncul juara Kategori Mukun Berkumpulan, manakala Warisan Lenggok Berzaman menjuarai Kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa.
Kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa dimenangi kumpulan Dua Beranak dari Kampung Sejaie, sementara Pewaris Telaga Air muncul juara Kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak.
Penyertaan kumpulan dari luar negara turut mewarnai pertandingan itu, dengan Medang Serai Mempawah dari Indonesia menerima Anugerah Khas Juri bagi Busana dan Tatarias Terbaik, manakala Selendang Sutera dari Brunei menduduki tempat keempat bagi Kategori Mukun Berkumpulan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Jumaat.
Bertemakan Nadi Warisan Irama Tradisi, FGS 2026 berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November di Kuching Waterfront, bersempena Sarawak Regatta – Kuching Waterfront Festival.
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching.
Hadir sama, Setiausaha Tetap MTCP, Datu Morshidi Fredrick dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd Radzi Omar.-EDISI UKAS